MELAKA – Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri diarahkan untuk menjalankan siasatan berhubung kejadian air Sungai Air Batu, berhampiran Kampung Paya Rumput Jaya, Sungai Udang yang bertukar hitam sejak kelmarin.
Jabatan Ketua Menteri Melaka dalam kenyataannya malam tadi berkata, pihaknya memandang serius dakwaan penduduk yang mengaitkan pencemaran itu berpunca daripada Tapak Pelupusan Sampah Sungai Udang.
“JAS telah diarahkan untuk menjalankan siasatan serta-merta dan hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat perubahan ketara pada warna air sungai yang bertukar hitam.
“Ia dipercayai berpunca daripada pelepasan efluen oleh sumber yang masih dalam siasatan, namun setakat ini tiada pelepasan air larut resapan (leachate) dikesan seperti dibimbangi penduduk,” katanya.
Tambahnya, pihak JAS akan terus memantau dan menjalankan pensampelan secara berkala untuk mengesan sebarang pelepasan dalam memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap Standard Kualiti Alam Sekitar.
“Untuk makluman, tapak pelupusan tersebut telah berada di bawah pemantauan berkala pihak JAS dan beberapa tindakan penguatkuasaan juga pernah diambil terhadap pengendali tapak sebelum ini,” tegasnya lagi.
“Kerajaan negeri memberi jaminan penuh bahawa siasatan lanjut sedang dijalankan dan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang alam sekitar,” katanya.-KOSMO! ONLINE