KUALA LUMPUR – Menteri Luar Russia, Sergey Lavrov menyifatkan pertemuannya bersama para pemimpin ASEAN sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 sebagai mesyuarat yang baik dan membina.
“It’s a nice meeting (satu mesyuarat yang baik),” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Pasca Persidangan Menteri ASEAN-Russia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Terdahulu, Lavrov bersama delegasi Russia mendarat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada pukul 8.27 pagi tadi dan disambut oleh Setiausaha Bahagian Tugas-Tugas Khas, Datuk Syed Mohamad Bakri Syed Abd Rahman dan Duta Besar Russia ke Malaysia, Naiyl M. Latypov.
Sebelum ini, Russia telah menjalin hubungan dengan ASEAN sejak tahun 1991 dan menjadi rakan dialog sepenuhnya pada 1996.
Pada tahun 2018, hubungan tersebut telah dipertingkatkan kepada Perkongsian Strategik. – KOSMO! ONLINE