fbpx

Indonesia gesa ASEAN perkukuh perpaduan, hadapi cabaran serantau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sugiono

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar Indonesia menggesa ASEAN memperkukuh perpaduan dalaman dan menegaskan semula peranannya sebagai teras utama dalam mengekalkan ketertiban serantau, khususnya di tengah ketegangan geopolitik yang semakin rumit.

Menterinya, Sugiono berkata, ASEAN perlu menegaskan peranannya sebagai peneraju kepada kestabilan serantau.

“Perpaduan dan peranan kepusatan tidak boleh dikompromi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Sugiono menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) semalam.

Mesyuarat tersebut membincangkan pelbagai isu penting termasuk krisis Myanmar, jenayah rentas sempadan, Laut China Selatan, dan perlindungan rakyat semasa konflik.

Dalam sesi itu, barisan Menteri Luar mengulangi komitmen terhadap Konsensus Lima Perkara (5PC) sebagai kerangka penyelesaian kepada krisis berpanjangan di Myanmar.

Selain itu, Sugiono juga menggesa keganasan dihentikan serta bantuan kemanusiaan dapat disalurkan dengan segera.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan jenayah rentas sempadan, terutama penipuan dalam talian yang sering berkait dengan pemerdagangan manusia dan penyeludupan dadah.

Mesyuarat itu juga mengalu-alukan kemajuan dalam rundingan Kod Tatalaku (COC) Laut China Selatan, dan memperkukuh komitmen untuk mempercepatkan rundingan berdasarkan garis panduan yang telah dipersetujui ASEAN, ke arah pencapaian hasil yang bermakna dan berkesan.

“ASEAN mesti kekal komited dalam memuktamadkan COC yang substantif dan efektif, serta diharapkan dapat membantu mengekalkan kestabilan maritim di Laut China Selatan,” katanya

Dalam menghadapi ketidaktentuan global dan konflik yang kian meningkat, beliau turut menekankan keperluan ASEAN untuk bersiap siaga dalam melindungi rakyatnya di kawasan bergolak, termasuk melalui pelaksanaan garis panduan sedia ada bagi penyampaian bantuan kecemasan melalui misi-misi ASEAN di luar negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI