ISKANDAR PUTERI – Sebuah helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan terhempas ke dalam Sungai Pulai ketika melakukan latihan Field Training Exercise (FTX) Bagi Multilateral Nuclear Security Detection Exercise, Malaysia-Indonesia-Thailand-Singapore 2025 (MITSATOM 2025).
Kejadian pada pukul 10.15 pagi itu berlaku berhampiran Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jalan Cabang, Pekajang, Gelang Patah di sini.
Difahamkan, lima kru terdiri daripada pegawai dan anggota polis yang terlibat dalam latihan itu bagaimanapun terselamat.
Sementara itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan kemalangan melibatkan sebuah helikopter jenis AS355N, nombor pendaftaran 9M-PHG, berhampiran Sungai Pulai, Gelang Patah, Johor pada hari ini.
Helikopter tersebit yang dikendalikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah berlepas dari Balai Polis Tanjung Kupang pada pukul 9.51 pagi dengan lima orang penumpang termasuk juruterbang.
Kesemua lima mangsa telah diselamatkan oleh Pasukan Polis Marin dan dibawa ke jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Johor.
Mangsa kini sedang dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru untuk pemeriksaan dan
rawatan perubatan.
Siasatan lanjut akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia mengikut Bahagian XXVI Peraturan Penerbangan Awam 2016.-KOSMO! ONLINE