KUALA LUMPUR – Bermula dengan janji cinta, berakhir di bilik kecil premis pelacuran.
Itu nasib malang 14 wanita warga asing yang menjadi mangsa eksploitasi seks selepas dipercayai dijual sendiri oleh teman lelaki masing-masing kepada sindiket pelacuran yang berselindung di sekitar Dang Wangi.
Kesemua wanita berusia antara 19 hingga 36 tahun itu berjaya diselamatkan dalam serbuan Ops Tip oleh Jabatan Imigresen (JIM) Kuala Lumpur sekitar pukul 1.15 tengah hari semalam.
Menurut Pengarah Imigresen Kuala Lumpur , Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff, operasi berkenaan turut mendapati premis terbabit beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 11 malam dan mengenakan caj sekitar RM60 bagi setiap pelanggan.
“Daripada 14 wanita yang diselamatkan, 10 adalah warga Bangladesh, warga India (tiga) dan warga Indonesia (seorang),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, ketika serbuan dijalankan, terdapat beberapa pelanggan lelaki cuba melarikan diri namun berjaya ditahan untuk tindakan lanjut.
“Mereka terdiri daripada sembilan lelaki warga Nepal, warga Myanmar (lima) dan warga Bangladesh (dua), dipercayai pelanggan premis tersebut,” ujarnya.
Jelasnya, siasatan awal turut dijalankan mengikut Garis Panduan Nasional Mengenai Indikator Pemerdagangan Orang (NGHTI) 2.0 yang menunjukkan jelas wujud unsur eksploitasi seksual dan pemerdagangan manusia.
“Kes disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya. – KOSMO! ONLINE