KUALA LUMPUR – ASEAN mampu mengatasi pelbagai cabaran termasuk persaingan kuasa besar yang semakin memuncak, pengasingan ekonomi, gangguan teknologi hingga kepada ancaman rentas sempadan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ASEAN juga mampu berdepan cabaran unilateralisme dan nasionalisme yang sedang meningkat sekali gus meminggirkan multilateralisme yang amat penting untuk kestabilan dunia.
“Hari ini kita sekali lagi sedang diuji. Rantau ini sedang berdepan dengan ‘ribut sempurna’. Cabaran yang dihadapi adalah pelbagai.
“Namun saya yakin dengan keteguhan kolektif dan komitmen kita yang kukuh terhadap dialog dan kerjasama, kita akan sekali lagi berjaya mengatasinya,” katanya pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN Plus Tiga (APT) Ke-26 di ibu negara hari ini.
Mohamad berkata, beberapa perkembangan memberangsangkan namun telah berlaku termasuk kelulusan Kemudahan Pembiayaan Segera (RFF) di bawah Inisiatif Pelbagai Hala Chiang Mai (CMIM)
Kata beliau, ASEAN turut menyaksikan momentum hasil kenyataan para pemimpin berkaitan Ekosistem Kenderaan Elektrik (2023) dan Pengukuhan Konektiviti Rantaian Bekalan Serantau (2024)
Ujar beliau, ia bukan pencapaian terpencil sebaliknya mencerminkan keupayaan APT untuk mencipta nilai, bertindak balas secara tangkas dan memimpin dengan pandangan jauh.
“APT mesti kekal tangkas, terkoordinasi dengan baik dan berpandangan jauh bagi memastikan ia terus relevan dan memberi impak. Ini menuntut kita untuk menerima pakai teknologi terkehadapan.
“Transformasi digital serantau ASEAN dijangka menyumbang kira-kira AS$2 trilion kepada KDNK serantau. Dengan kepakaran China, Jepun dan Republik Korea dalam bidang teknologi digital, peluang serta pulangan yang berpotensi sangat besar,” katanya.
Tambah beliau, inisiatif seperti itu malah menyokong matlamat Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN untuk merapatkan jurang pembangunan, pembangunan yang saksama, nenggalakkan pertumbuhan mampan, memperkukuh keamanan, meningkatkan taraf hidup dan modal insan serta memupuk perpaduan dan penyertaan sosial secara mampan.
“Kita harus ingat bahawa secara kolektif APT merangkumi jumlah penduduk seramai 2.28 bilion orang dengan jumlah KDNK nominal sekitar AS$29.33 trilion iaitu 25.77 peratus daripada KDNK global.
“Skala ini menyerlahkan kepentingan strategik dan kaitan global perkongsian kita serta tanggungjawab yang kita galas dalam memastikan kestabilan serantau, pertumbuhan inklusif dan pembangunan mampan,” katanya. – KOSMO! ONLINE