KUALA LUMPUR – Seramai 73 wanita disyaki gadis pelayan pelanggan (GRO) ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Medan Imbi, di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, Ops Hiburan Khas itu dijalankan hasil maklumat dan risikan oleh pihaknya yang mendapati premis itu menjalankan kegiatan mencurigakan termasuk menawarkan perkhidmatan GRO.
Serbuan berkenaan ujarnya, dilakukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) serta Bahagian Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur kira-kira pukul 12.30 tengah malam.
“Pemeriksaan mendapati 73 wanita berusia antara 24 hingga 40 tahun disyaki bekerja sebagai GRO.
“Mereka terdiri daripada tiga warga tempatan, Thailand (52), Vietnam (lima), China (dua), Laos (lima) dan Indonesia (lima),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Turut ditahan, seorang wanita tempatan berusia 49 tahun yang dipercayai bertindak sebagai penjaga premis.
Menurut Rusdi, siasatan mendapati kebanyakan wanita terbabit masuk ke negara ini menggunakan visa pelancong namun menyalahgunakannya untuk bekerja di premis hiburan berkenaan.
“Daripada jumlah tersebut, dua wanita tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah, manakala 68 lain mempunyai pasport, namun menyalahgunakannya,” ujarnya.
Dalam serbuan itu juga katanya, seramai 145 individu termasuk pekerja dan pelanggan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk menjalani ujian saringan air kencing.
Katanya lagi, premis hiburan tersebut dipercayai mengenakan bayaran tip antara RM100 hingga RM500 bagi setiap GRO kepada pelanggan.
Kes disiasat mengikut pelbagai peruntukan undang-undang termasuk menggajikan warga asing tanpa permit sah, penyalahgunaan permit serta visa, gagal mempamer lesen perniagaan hiburan sah serta tiada dokumen perjalanan sah. – KOSMO! ONLINE