PETALING JAYA – Majlis Sukan Negara (MSN) mengingatkan semua pihak agar memperkemas koordinasi dan pelaksanaan gerak kerja bagi menghadapi Sukan SEA 2025 yang disifatkan antara temasya paling mencabar dari segi pengurusan kontinjen.
Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, jumlah 50 jenis sukan yang akan dipertandingkan di Thailand memerlukan penyelarasan rapi melibatkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Institut Sukan Negara (ISN) serta semua persatuan sukan kebangsaan.
“Temasya kali ini memang besar dan kompleks. Sebanyak 54 sukan akan dipertandingkan, jadi banyak perkara perlu ditangani dengan cepat dan tersusun.
“Gerak kerja semua pihak perlu diselaraskan dan komunikasi yang lebih terbuka serta telus perlu dibuat supaya tidak timbul masalah pada penyertaan di temasya Sukan SEA nanti,” katanya selepas mempengerusikan taklimat penyelarasan kontinjen negara di MSN, hari ini.
Taklimat berkenaan dihadiri 55 persatuan sukan kebangsaan dan memperincikan pelan persediaan melibatkan pemantauan prestasi atlet di bawah program ITP, perkhidmatan sains sukan serta pengurusan teknikal oleh MOM.
Sesi itu turut menyaksikan pengenalan rasmi Chef de Mission (CDM) baharu, Nurul Huda Abdullah dan dua Timbalan CDM, Nazmizam Muhammad serta Jivan Mohan yang diberi mandat menyelaras pentadbiran pasukan.
Mengulas lanjut, Jefri menjelaskan meskipun kebanyakan sukan utama telah melakukan persiapan dan pendaftaran awal, masih terdapat beberapa sukan baharu yang belum menghantar senarai penyertaan kepada MOM.
“Bagi sukan yang disasarkan untuk meraih pingat, kita telah pastikan mereka membuat persiapan dan pendaftaran awal seperti diminta oleh MOM. Setakat ini, hanya sukan-sukan baharu di bawah dua program sahaja yang masih belum berdaftar,” katanya.
Sukan SEA 2025 bakal berlangsung dari 9 hingga 20 Disember, melibatkan tiga lokasi utama iaitu Bangkok, Chonburi dan Songkhla dengan keseluruhan 574 acara dipertandingkan. KOSMO! ONLINE.