fbpx

27 aduan babit syarikat bas diterima hingga Jun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Steven (tengah) hadir Karnival Kerjaya dan Keusahawanan MYFutureJobs anjuran Perkeso di Kompleks Penjara Seberang Perai di Jawi, hari ini.

SEBERANG PERAI – Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) telah merekodkan sebanyak 27 aduan membabitkan syarikat perkhidmatan bas di negara ini dari 2024 sehingga Jun lalu.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, mengikut pecahan data, sebanyak 19 aduan berkaitan pelbagai kesalahan termasuk pembayaran gaji di bawah paras minimum dan kerja lebih masa pada hari biasa diterima pada dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Menurutnya, berbanding tahun lalu, sebanyak lapan aduan diterima daripada syarikat bas berhubung kes pelanggaran hak pekerja.

Antara aduan lain yang diterima adalah isu baki gaji, faedah penamatan dan berhenti kerja, gaji cuti sakit, cuti tahunan serta isu-isu lain di bawah Akta Kerja 1955.

“Jabatan Tenaga Kerja sentiasa melakukan tinjauan dan juga pemeriksaan untuk menguatkuasakan pelaksanaan gaji minimum sepanjang masa di semua sektor.

“Jadi, saya ingin menyeru kepada semua majikan supaya mematuhi undang-undang gaji minimum. Sebab ini merupakan undang-undang yang harus dipatuhi.

“Ia bukan saranan, bukan cadangan tapi adalah satu kewajipan yang diperuntukkan oleh undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan segelintir pemandu bas ekspres yang mendakwa tidak menerima gaji minimum RM1,700 daripada majikan meskipun kerajaan telah menguatkuasakannya.

Terdahulu,beliau hadir merasmikan Karnival Kerjaya dan Keusahawanan MYFutureJobs anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Kompleks Penjara Seberang Perai di Jawi, Seberang Perai Selatan di sini, hari ini. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI