LONDON – Bintang Belarus, Aryna Sabalenka mengakui pengajaran daripada kekalahan di final Terbuka Perancis bulan lalu menjadi kunci kebangkitan dramatik untuk mara ke separuh akhir Wimbledon 2025.
Sabalenka yang juga pilihan utama kejohanan bangkit selepas tewas set pertama untuk menundukkan pemain veteran Jerman, Laura Siegemund 4-6, 6-2, 6-4 di gelanggang utama All England Club semalam.
“Kalau bukan kerana saya belajar kawal emosi sejak Terbuka Perancis, mungkin saya kalah hari ini.
“Saya asyik ingatkan diri, ini suku akhir Wimbledon, ini impian saya. Tak boleh mengalah begitu saja,” kata Sabalenka yang tewas kepada Coco Gauff dalam perlawanan akhir di Paris akibat melakukan 70 unforced errors.
Pemain No. 1 dunia itu kini hanya dua langkah untuk menggenggam trofi Venus Rosewater Dish yang menjadi impian sejak remaja, namun laluan ke final tampak berliku apabila perlu berdepan cabaran daripada pilihan ke-13, Amanda Anisimova dari Amerika Syarikat esok.
Mereka memiliki rekod pertemuan yang agak seimbang dengan Anisimova menang lima daripada lapan perlawanan, termasuk beberapa pertemuan mendebarkan sebelum ini.
“Dia memang sesuai dengan permukaan ini. Servis dia juga sangat bagus dan memiliki kekuatan,” jelas Sabalenka yang menewaskan Anisimova 7-5, 6-3 di Terbuka Perancis baru-baru ini. – AGENSI