MELAKA – Tiga lelaki disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) warga China diberkas selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti penipuan tawaran kerja sambilan dalam talian, kelmarin.
Kesemua suspek berusia antara 32 hingga 38 tahun itu diberkas dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Pandan Malim oleh sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Muktar berkata, dalam serbuan tersebut pasukan telah menemui dan merampas komputer riba dan telefon bimbit pelbagai jenama dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan tersebut.
“Hasil pemeriksaan kesemua mereka ini merupakan warga China dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah masuk ke negara ini.
“Suspek disyaki menjadikan kediaman sewa di negeri ini sebagai tempat operasi penipuan tawaran pekerjaan sambilan yang tidak wujud,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Katanya, kesemua suspek kini direman selama empat hari sehingga 11 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1955/63. – KOSMO! ONLINE