MELAKA – Tindakan licik seorang ‘tauke’ kedai runcit warga Pakistan menjual ayam hidup yang disorokkannya di dalam tandas terbongkar selepas diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri.
Pengarah KPDN Melaka, Dr. Mohd. Hazimin Jamaludin berkata, serbuan dilakukan pada 4 Julai lalu selepas pihaknya menerima aduan berhubung bau busuk yang dipercayai datang dari premis tersebut di Cheng.
Katanya, pemeriksaan dilakukan menemui kira-kira 20 ekor ayam hidup yang disimpan di dalam tandas untuk dijual kepada pelanggan.
“Kedai itu berada dalam keadaan sangat kotor dan kita menemui ayam hidup yang disorokkan oleh peniaga di dalam tandas.
“Pada awalnya lelaki Pakistan berusia 40-an itu menafikan dia menjalankan perniagaan tetapi mengakui kesalahannya selepas kita menjumpai transaksi jual beli,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, hasil soal siasat premis tersebut juga dibuka secara haram kerana tidak mempunyai lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Peniaga itu mendakwa premis tersebut dalam proses menukar hak milik perniagaan selepas dibeli daripada warga tempatan dan hanya mempunyai lesen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
“KPDN Melaka mengeluarkan kompaun keseluruhan RM500 mengikut Akta Timbang Dan Sukat 1972 serta Akta Kawalan Harga dan Antipencacutan 2011,” ujarnya.
Terdahulu, klip video serbuan berdurasi 4 minit 40 saat turut dikongsikan KPDN Melaka menerusi aplikasi TikTok dengan rata-rata meluahkan rasa terkejut susulan penemuan ayam hidup tersebut. – KOSMO! ONLINE
@kpdnmelaka Situasi yang salah, tak boleh diteruskan macam ni. Kenapa perlu patuh undang²?, Supaya semua orang dijaga termasuklah aspek keselamatan pengguna. Lepas ni jangan konar² dengan penguatkuasa, kita gempur. @Armizan Mohd Ali @Fuziah Salleh @Ab Rauf Yusoh @kerajaannegerimelaka #KPDNKITA #kpdnmelaka #kitagempur ♬ original sound – KPDN Melaka