JITRA – Adik kepada mangsa lemas di Sungai Korok, di sini memberitahu dia dan adik beradik lain sudah beberapa kali ke lokasi kereta mangsa ditemukan, namun tidak menemui sebarang tanda mencurigakan.
Menurut Nor Hanani Mawaddah Ishak, 30, nalurinya kuat mengatakan kereta Proton Iswara yang dinaiki abangnya, Mohamad Azim Izat, 32, bersama isteri, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat anak berada di lokasi tersebut.
“Kami dapat rasakan abang ada dalam sungai di kawasan itu. Bila lalu dan berhenti di situ, saya rasa berdebar-debar.
“Saya rasa tak sedap hati dan naluri saya kuat mengatakan abang ada di situ, namun tiada kepastian sebab tidak nampak apa-apa. Saya cuma nampak buih kecil timbul pada permukaan air,” katanya ketika ditemui di rumah adiknya di Taman Seri Aman, di sini hari ini.
Cerita Nor Hanani, kali terakhir mereka mencari abangnya dan keluarga pada petang Ahad lalu, sehari sebelum kereta tersebut timbul di permukaan air.
“Keesokan paginya, orang awam beritahu jumpa kereta di sungai itu. Memang tak sangka lokasi itu sama dengan gerak hati saya sebelum itu,” ujarnya.
Tambah wanita itu, dia reda dengan kejadian tersebut, namun sangat merindui abang, kakak ipar serta empat anak saudara yang hilang dalam sekelip mata.
“Anak-anak saudara memang rapat dengan saya dan adik beradik lain. Kami rindu dengan keletah mereka,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan tanda tanya mengenai nasib sepasang suami isteri dan empat anak yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu terjawab selepas jasad mereka dijumpai 48 jam kemudian bersama kereta jenis Proton Iswara di dalam Sungai Korok
Mereka ialah pasangan suami isteri, Mohamad Azim Izat dan isteri, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat anak iaitu Putra Rayyan Nur Izzat, 9, Hawa Adriana Nur Izzat, 8, Annayla Humaira Nur Izzat, 7, dan Tuah Haydar, enam bulan. – KOSMO! ONLINE