SEREMBAN – Pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menawarkan pakej haji dengan menerima transaksi bayaran RM81,000 daripada seorang wanita tanpa lesen pengelola jemaah haji yang sah pada Februari hingga April lalu.
Tertuduh, Mhd Lihan Sabari, 60 dan isterinya, Noor Nisrin Mahlim, 58, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Muhamad Kamil Nizam.
Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama-sama telah membuat transaksi perniagaan mengelolakan perjalanan ke tanah suci bagi maksud menunaikan haji dengan menerima bayaran sebanyak RM81,000 daripada seorang wanita tanpa lesen pengelola jemaah haji yang sah.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di Jalan Besar, Kawasan Hijau, Mantin dekat Nilai pada 4 Februari hingga 7 April 2025.
Sehubungan itu, mereka telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 27(1)(a) Akta Tabung Haji 1995 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 27(2) (a) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Syamimi Farhana Muhammad A Aziz menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin warga tempatan dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Media sebelum ini melaporkan, hasrat 47 jemaah warga emas Malaysia untuk menunaikan haji berkecai apabila ditipu ejen haji tempatan dipercayai membabitkan seorang agamawan.
Dilaporkan kesemua warga emas itu dipaksa meredah laluan berbahaya dengan berjalan kaki tanpa dokumen untuk ke Mekah sebaik tiba di Jeddah, susulan kawalan ketat pihak berkuasa Arab Saudi terhadap jemaah yang tiada visa haji. – KOSMO! ONLINE