fbpx

Simposium Fabrik ASEAN 2025 menyatukan diplomasi budaya tekstil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan menyempurnakan gimik pada Majlis Perasmian ASEAN Fabrics Symposium 2025 di Auditorium Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, hari ini. Foto oleh SYAKIR RADIN/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Sempena Kepengerusian ASEAN, Jabatan Muzium Negara menganjurkan Simposium Fabrik ASEAN 2025 bertempat di Auditorium Sasana Kijang, Bank Negara.

Program dengan kerjasama Muzium Tekstil Negara berlangsung selama dua hari bermula hari ini bertemakan ‘Textile Sustainability: Tradition Towards Transformation’ yang memberi fokus kepada kelestarian tekstil dari perspektif tradisi, inovasi dan masa depan.

Upacara perasmian simposium berkenaan disempurnakan oleh Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan turut dihadiri Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

Aaron Ago dalam ucapannya mahu muzium bukan lagi sebagai tempat simpanan, tetapi sebagai platform untuk para penggiat kraf, akademik, komuniti dan pembuat dasar berganding bahu untuk mentransformasikan warisan menjadi nilai bersama.

“Kerjasama seperti ini berpotensi merapatkan jurang perbezaan dan mengangkat identiti kolektif Asia Tenggara ke pentas dunia.

“Muzium harus dilihat sebagai pemangkin kepada kesinambungan relevan dalam konteks semasa dan kerjasama serantau bukan sekadar penjaga warisan masa lalu.,”katanya.

Mengulas lanjut, Aaron Ago berkata, dalam konteks ASEAN, beliau percaya muzium boleh berperanan sebagai pusat kerjasama serantau, dengan menawarkan peluang antaranya penyelidikan bersama mengenai sejarah tekstil, bahan dan motif.

Selain itu katanya, muzium turut menjadi tempat pameran rentas sempadan dan pusat pembangunan kapasiti untuk kurator, penggiat kraf, dan pengurus budaya.

“Ketika ini, Jabatan Muzium Malaysia sedang meneroka penubuhan Rangkaian Muzium ASEAN yang memfokuskan kepada warisan lestari dan inovasi budaya,”ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai simposium itu, Aaron Ago berkata, acara tersebut juga menyatukan semula komitmen bersama kita terhadap diplomasi budaya antara negara ASEAN.

“Di seluruh ASEAN, tradisi tekstil kita merupakan warisan hidup, setiap satunya unik dari segi motif, bahan, dan kaedah penghasilannya.

“Daripada songket dan batik Malaysia, kepada ikat Indonesia, ‘mudmee’ Thailand, ‘hol’Kemboja, ‘broked’ sutera Vietnam, dan ‘hablon’ serta piña dari Filipina, kita dihubungkan oleh benang sejarah, identiti, dan nilai budaya yang dikongsi bersama.

“Saya berasa bangga kerana songket Malaysia telah diiktiraf oleh UNESCO. Ia bukan sekadar sehelai kain, ia adalah simbol kebangsaan yang melambangkan perpaduan, maruah dan ketahanan,”ujarnya.

Terdahulu, simposium berkenaan turut disertai seramai 300 orang peserta yang terdiri dari kalangan institusi permuziuman, ahli akademik, penyelidik, pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT), agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), profesional dan penggiat seni tekstildari dalam dan luar negara.

Acara tersebut juga bukan sahaja memperkukuh diplomasi budaya ASEAN, malah menjadi pemangkin kepada wacana tekstil serantau yang inklusif dan berdaya tahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI