ROUEN – Pelumba Slovenia, Tadej Pogacar mencatat kemenangan ke-100 dalam kariernya selepas menjuarai peringkat keempat Tour de France (TdF) semalam, namun terpaksa akur apabila jersi kuning kekal menjadi milik Mathieu Van Der Poel.
Pelumba UAE Team Emirates itu melakukan pecutan bertenaga di penghujung perlumbaan untuk menewaskan Van Der Poel di garisan penamat di Rouen, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai pencabar utama menjelang aksi ujian masa sulung esok.
“Setiap kemenangan tetap istimewa. Kali ke-100 juga masih rasa sangat indah,” kata Pogacar yang muncul pemenang selepas mendaki laluan berbukit mencabar termasuk Rampe Sainte-Hilaire dengan kecerunan 15 peratus.
Kedua-dua pelumba kini terikat dari segi masa keseluruhan, namun Van der Poel kekal menyarung jersi kuning menerusi kelebihan keputusan peringkat terdahulu, sebelum dijangka terpaksa menyerahkannya kepada pakar ujian masa esok.
“Secara realistik, esok mungkin hari terakhir saya mengenakan jersi kuning. Tadej memang lebih kuat hari ini,” kata Van der Poel yang mula keletihan di penghujung pendakian.
Pogacar pula memberi amaran kepada pelumba Belgium, Remco Evenepoel yang dijangka menyerlah dalam ujian masa sejauh 33 kilometer (km) di Caen, berdasarkan prestasi cemerlangnya di Criterium du Dauphine bulan lalu.
“Remco akan memiliki kelebihan pada peringkat seterusnya. Dia pelumba ujian masa terbaik dunia. Tapi, saya akan kayuh habis-habisan dan lihat di mana kedudukan saya selepas itu,” kata juara bertahan itu. – AGENSI