RUNDINGAN antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah terus menampakkan hasil positif dengan kedua-dua pemain itu dijangka kekal bersama badan induk berkenaan.
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, kedua-dua pihak masih lagi berada dalam proses perbincangan selain memberi jaminan isu itu akan selesai sebelum kejohanan Terbuka Jepun di Tokyo minggu depan.
Jelas beliau, hasil perbincangan dibuat setakat ini menunjukkan perkembangan positif, sekali gus menguatkan lagi spekulasi Pearly-Thinaah akan menandatangani kontrak baharu bersama BAM.
“Kita tunggu dahulu, Tengku Presiden sudah beritahu bahawa (keputusan) sebelum Terbuka Jepun, jadi kita tunggu. Masih ada beberapa hari lagi sebelum Terbuka Jepun berlangsung.
“Seperti Tengku Presiden beritahu sebelum ini, perbincangan yang dibuat sangat positif. Itu yang saya boleh beritahu buat setakat ini,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.
Minggu lepas, Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memberitahu, kedua-dua pihak bersetuju untuk memuktamadkan perbincangan tersebut bagi membolehkan mereka fokus kepada kejohanan-kejohanan akan datang.
Tambah beliau, badan induk itu juga akan membuat penilaian terhadap kedua-dua pemain berkenaan berdasarkan sumbangan diberikan dan sedia memberikan ganjaran setimpal dengan pencapaian.
Sebagai rekod, Pearly-Thinaah menjadi perhatian apabila kedua-dua pemain itu masih belum menandatangani kontrak baharu selepas kontrak sedia ada tamat pada Disember tahun lalu sehingga menimbulkan persoalan mengenai masa depan mereka di BAM.