KUALA LUMPUR – Negara anggota ASEAN perlu melabur dan berdagang lebih antara satu sama lain dan memajukan integrasi merentas sektor bagi membina ekonomi ASEAN yang lebih kukuh dan saling berhubung.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia keperluan strategik yang akan menjadi tunggak kepada kerelevanan dan ketahanan ASEAN untuk dekad-dekad akan datang.
Sehubungan itu, katanya, dasar luar dan dasar ekonomi ASEAN memerlukan penjajaran yang lebih rapat termasuk Menteri Luar dan Menteri Ekonomi yang bergerak seiring.
“Smasa kita menavigasi tekanan luar, kita perlu memperkukuh asas dalaman kita. Kita mesti menolak idea bahawa keputusan tentang rantau kita boleh dibuat di tempat lain.
“Kita adalah sebuah rantau yang menentukan haluannya sendiri secara sengaja, koheren dan dengan tujuan. ASEAN tidak akan dibicarakan tanpa kehadirannya sendiri.
“Keadaan global kekal tidak menentu. Tidak dapat dinafikan keperluan untuk bertindak dengan tujuan di rantau sendiri dengan memajukan kerjasama yang membawa manfaat nyata kepada rakyat kita,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan di ibu negara hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri membangkitkan tentang tarif, sekatan eksport dan halangan pelaburan kini menjadi instrumen yang diasah dalam persaingan geopolitik.
Anwar berkata, alat yang dahulunya digunakan untuk menjana pertumbuhan kini digunakan untuk memberi tekanan, mengasingkan dan menyekat.
Ujar beliau, keadaan itu bukan badai sementara, sebaliknya cuaca baharu zaman ini dan ASEAN mesti menghadapi realiti tersebut dengan jelas serta keyakinan.
“Kita mesti membaca landskap secara klinikal, bercakap dengan koheren dan bertindak dengan pandangan jauh. Kekuatan kita tidak boleh terhenti pada deklarasi semata-mata.
“Ia mesti dibina dalam institusi kita, strategi kita dan keputusan ekonomi kita,” katanya. – KOSMO! ONLINE