fbpx

Mangsa kebakaran rayu bantuan pakaian sekolah anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NURHAMIZA melihat keadaan rumahnya di Nombor 7, Jalan Matahari 3/1 Taman Matahari 1, Kluang yang terlibat dalam kebakaran malam kelmarin.

KLUANG – Sebuah keluarga yang terlibat dalam kebakaran di Taman Matahari di sini malam kelmarin merayu bantuan orang ramai membantu menyediakan pakaian dan kelengkapan persekolahan untuk empat orang anaknya.

Nurhamiza Abdul Hamid, 40, berkata, masuk hari ini sudah dua hari anak-anaknya tidak hadir ke sekolah kerana kelengkapan persekolahan termasuk pakaian dan kasut habis rosak akibat terkena semburan air bomba ketika memadamkam api.

Katanya, mereka yang tinggal di rumah nombor 7, Jalan Matahari 3/1, Taman Matahari 1 merupakan salah sebuah daripada empat buah keluarga yang terlibat dalam kejadian pukul 9.37 malam kelmarin.

“Rumah kediaman kami juga terjejas teruk kerana bersebelahan dengan rumah nombor 8 yang bermulanya kebakaran malam itu dan pihak Pasukan Bomba dan Penyelamat melakukan semburan air hingga ke bilik bahagian atas bagi mengelakkan api merebak.

“Akibat daripada kejadian itu, pakaian dan kelengkapan persekolahan anak-anak yang diletakkan dibahagian atas rosak dan tidak dapat digunakan lagi,”katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Nurhamiza lagi, suaminya Mohd. Zaimili Saat, 46, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) fizikal amat terkesan dengan kejadian itu apatah lagi tiada pekerjaan dapat dilakukan bagi menampung kos perbelanjaan itu.

Ujarnya, kini mereka sekeluarga terpaksa menumpang di rumah ibunya di Sri Lalang sementara mencari rumah sewa baharu berhampiran sekolah anak-anaknya di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Tiga dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Aris Bandahara.

Orang ramai boleh berhubung terus dengan Nurhamiza untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan keperluan diperlukan di talian 018-4614842.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI