PETALING JAYA – Kembali ‘berperang’, pelawak Shuk Sahar mendakwa tidak dimaklumkan isterinya, Fara Salleh mengenai kelahiran bayi perempuan mereka pada 26 Jun lalu.
Shuk atau nama lengkapnya Mohamad Shukri Mohamed Sahar, 39, berkata, berita tersebut hanya diketahui selepas seseorang memberikan maklumat melalui mesej langsung (DM) di laman sosial.
“Orang sampai DM di TikTok bagi tahu dah masuk hospital nak bersalin, jadi yang termampu sahaja bagi yang ada RM5,000 untuk buat lahir.
“Kata celah gigi, nak tengok baki akaun tinggal berapa. Okey jom,” katanya menerusi perkongsian dalam Insta Story.
Selain persediaan bersalin, Shuk juga mengemukakan bukti transaksi bank sebagai nafkah diberikannya serta kos rawatan jantung, umrah dan percutian ke luar negara sebelum ini.
“Nak tengok setiap bulan aku abaikan ke tak? RM15,000 duit jantung, RM10,000 duit pergi umrah dan RM75,000 duit pergi Eropah,” tulisnya.
Menerusi hantaran lain, dia turut memperbetulkan dakwaan Fara berkenaan dirinya yang dikatakan tidak ke hospital untuk iqamatkan anak perempuan mereka.
Malah pelawak berkenaan tidak ketinggalan mempertahankan diri susulan tindakan isterinya yang meletakkan ‘maklumat tidak diperolehi’ pada bahagian bapa surat beranak anaknya dengan alasan dia tidak memberi kerjasama.
“Maklumat ayah macam mana nak dapat, macam mana nak pergi azankan (iqamatkan), tarikh lahir pun tak ada siapa yang bagi tahu. Tak ada siapa yang contact untuk bagi tahu dah lahir.
“(Jadi) bab daftar anak jangan risau, aku dah pun hubungi peguam akan diuruskan. Apa-apa WhatsApp jangan di InstaStory. Penatlah orang kena bagi tahu,” ujarnya.
Pada masa sama, Shuk memberi amaran kepada wanita terbabit agar jangan mengheret nama ibu bapanya dalam hal anak mereka.
Dia mengakui sebelum ini mengambil sikap berdiam diri kerana enggan membongkar lebih banyak cerita buruk.
“Sekali lagi jangan kau petik nama mak ayah aku, jangan main gila dengan aku, usik aku sahaja bukan mereka.
“Aku diam bukan sebab aku takut tapi sebab aku malas layan drama buka aib kau,” katanya.
Semalam, Fara memaklumkan selamat melahirkan bayi perempuan secara pembedahan yang diberi nama Elaine Nada pada 26 Jun lalu.
Dalam perkongsiannya, dia membongkar satu demi satu perkara yang didakwa diabaikan suami termasuk tidak mempedulikan sekecil malah dia bertarung nyawa sendirian melahirkan zuriat mereka.
Terdahulu, rumah tangga pasangan itu semakin menjadi tumpuan ramai selepas Shuk melafazkan cerai menerusi panggilan telefon pada April lalu. – KOSMO! ONLINE