PETALING JAYA – Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Perancis dan Brazil baru-baru ini bukan sekadar berkisar urusan pembelian pesawat oleh syarikat penerbangan negara seperti AirAsia dan Malaysia Airlines.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, lawatan tersebut sebaliknya merupakan strategi diplomasi penerbangan yang proaktif dan berpandangan jauh, bagi menyasarkan pulangan ekonomi yang jauh lebih besar kepada negara.
“Kita sedang memanfaatkan daya beli syarikat-syarikat penerbangan kita untuk menarik pelaburan tambahan daripada syarikat seperti Airbus, termasuk cadangan membuka kemudahan final assembly line di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, Malaysia juga sedang membuka pintu kerjasama dengan pengeluar pesawat dari Brazil, Embraer, termasuk cadangan menjadikan Malaysia sebagai hab penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), pusat latihan serta rantaian bekalan di rantau Asia Tenggara.
Anthony berkata, langkah itu akan memberi impak langsung kepada pembangunan sektor aeroangkasa negara sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti tinggi kepada rakyat tempatan.
“Inilah pendekatan kita. Setiap ringgit yang dibelanjakan mesti membawa pulangan kepada negara sama ada dalam bentuk pelaburan, teknologi atau peluang ekonomi,” katanya.- KOSMO! ONLINE.