KOTA BHARU – Majlis perkahwinan seorang anggota bomba yang sepatutnya berlangsung pada Sabtu ini bertukar menjadi majlis tahlil apabila lelaki itu meninggal dunia pagi tadi.
Allahyarham Mohd. Kasyfi Remali, 42, bakal melangsungkan perkahwinan kali kedua dengan bakal isterinya, Zabida Jusoh, 40, pada Sabtu ini di Kampung Pasir Kasar, Sering di sini.
Zabida berkata, bakal suaminya itu menghembuskan nafas yang terakhir di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian akibat penyakit tiroid selepas menghidap angin ahmar dan darah tinggi.
Katanya, arwah Mohd Kasyfi meninggal dunia kira-kira pukul 11.57 pagi tadi selepas bertarung nyawa selama lebih 48 jam di HPUSM.
“Majlis akad nikah sepatutnya diadakan pada Jumaat ini. Semua persiapan sudah dibuat termasuk tempahan pelamin. Kenduri kahwin hanya dibuat di rumah keluarga arwah pada Sabtu ini.
“Sebelum arwah masuk ke hospital, kami sempat membeli nasi di Kampung Pulau Belanga kira-kira pukul 7.30 malam kelmarin. Dia mengadu pening dan tidak boleh memandu kerana tangan kirinya tiba-tiba lemah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pasir Kasar hari ini.
Zabida berkata, arwah Mohd Kasyfi kemudian menjalani pembedahan membuang darah beku sebelum ditidurkan kerana otaknya bengkak.
Cerita wanita itu, dia dan arwah Mohd Kasyfi kenal sejak empat bulan lalu, malah pernah berjanji untuk bersama-sama menjaga empat anak termasuk seorang anaknya yang masih bersekolah.
“Arwah orang yang baik dan kerap bercakap mengenai penjagaan anak. Saya reda dengan pemergiannya walaupun tidak sempat hidup bersamanya,” katanya.
Sementara itu, kakak arwah, Afzan, 43, berkata, semua persiapan untuk majlis kenduri kahwin sudah dibuat termasuk menumbangkan seekor lembu yang dibeli pada harga RM2,000.
“Semua kelengkapan yang dibeli itu akan digunakan untuk majlis tahlil. Jenazah arwah adik saya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Sering pada pukul 5.30 petang tadi,” katanya. – KOSMO! ONLINE