PETALING JAYA – “Kenalkan anak baru saya, Putri Qisya. Alhamdulilah, Allah permudahkan.
Demikian perkongsian Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid di laman Instagramnya ketika berkongsi gambar bersama Putri Qisya Nur Izzat yang kehilangan enam ahli keluarganya dalam kemalangan tragis di Sungai Korok, Jitra, Kedah Isnin lalu.
Menerusi perkongsian itu juga, Nurulhidayah yang juga anak kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut menitipkan ucapan agar kanak-kanak itu menjadi wanita solehah yang cemerlang, berjaya dan disegani.
“Thethe sayang Qisya, arwah mama Qisya nama Nurul Hidayah. Thethe baru Qisya, Nurulhidayah, masya-Allah,” tulisnya pada hantaran tersebut.
Difahamkan, Nurulhidayah turut menjadikan Putri Qisya, 12, sebagai anak angkatnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna mendoakan agar Putri Qisya terus tabah menghadapi ujian tersebut dan berjaya di dunia dan akhirat.
“Alhamdulilah, semua sayang Qisya. Jadi anak yang solehah ya sayang. Semoga berjaya dunia dan akhirat,” tulis ekinzlee_mustafa.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai _matebiru.
“Masya-Allah, semoga segala yang terbaik mengiringimu setiap langkah adik Qisya. Kami akan sentiasa mendoakan,” katanya.
Terdahulu, dalam kejadian pada Isnin lalu, Putri Qisya menjadi yatim piatu sekelip mata selepas ibu bapanya, Mohamad Azim Izat dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, ditemukan lemas di Sungai Korok, Jitra.
Turut lemas dalam kejadian kereta terbabas ke dalam sungai itu ialah empat anak mereka iaitu Putra Rayyan Nur Izzat, 9, Hawa Adriana Nur Izzat, 8, Annayla Humaira Nur Izzat, 7, dan Tuah Haydar, enam bulan. – KOSMO! ONLINE