PETALING JAYA – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek hari ini merakamkan ucapan tahniah kepada Pengarah Pendidikan Negeri Pahang yang baharu, Ahmad Zamri Mat atas pelantikan beliau memimpin sektor pendidikan di negeri itu.
Menurut Fadhlina, pelantikan tersebut membawa harapan besar agar kecemerlangan pendidikan di Pahang terus dipertingkatkan, seiring dengan usaha reformasi pendidikan yang digerakkan di peringkat nasional.
“Saya cukup teliti dalam hal pendidikan negeri kerana soal reformasi pendidikan bermula dengan kekuatan dan anjakan di negeri. Pahang adalah negeri yang saya gelar sebagai ‘the next big thing’.
“Ia berdasarkan prestasi sebenar dan lonjakan luar biasa dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, khususnya dalam keputusan SPM dan STPM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, negeri Pahang juga mempunyai keistimewaan tersendiri melalui pendekatan Pedagogi Rimba, iaitu model pendidikan untuk komuniti Orang Asli yang dibangunkan oleh IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan.
Fadhlina turut menekankan bahawa pelantikan Ahmad Zamri bukan sekadar menyambung tugas, tetapi memikul tanggungjawab besar untuk memastikan reformasi pendidikan benar-benar diterjemahkan dalam menangani isu keciciran serta memastikan kesejahteraan guru menjadi keutamaan.
“Berbekalkan pengalaman panjang beliau dalam perkhidmatan pendidikan dan sebagai guru, saya yakin beliau bersama pasukannya akan menterjemahkan reformasi pendidikan dengan lebih padu.
“Selamat menunaikan khidmat kebaktian untuk negeri Pahang!” katanya.- KOSMO! ONLINE.