KUALA TERENGGANU – Seorang juruteknik yang pernah dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan mengedar pil kuda bernilai RM600,000 pada tiga tahun lalu dihukum penjara 30 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani menjatuhi hukuman demikian terhadap tertuduh, Mohd. Faiz Yusof, 41, selepas pihak pembelaan gagal mengetepikan kes prima facie dikemukakan pihak pendakwaan.
Beliau memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan semula pada 23 April lalu.
Sebelum ini, tertuduh pernah dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan berkenaan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Oktober 2022.
Begitupun, pihak pendakwaan berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan, Putrajaya dan kes dikembalikan ke Mahkamah Tinggi, di sini, baru-baru ini.
Berdasarkan pertuduhan, Mohd. Faiz didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 619.71 gram.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Kampung Padang Machang, Manir di sini pada pukul 7.30 malam, 1 September 2019.
Dia mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE