LIMBANG – Lelaki yang dibaham buaya ketika memancing di sungai Kampung Pandam di sini, semalam dijumpai kira-kira pukul 2.28 petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mayat mangsa berusia 58 tahun itu ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira satu kilometer dari Pusat Kawalan Bomba.
“Jasad mangsa dijumpai dalam keadaan sempurna dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lelaki itu dilaporkan hilang dipercayai dibaham buaya kira-kira pukul 3.13 petang semalam ketika memancing di sungai berkenaan.
Menurut saksi, setibanya di lokasi kejadian, hanya barang-barang dan peralatan yang digunakan mangsa dijumpai.
Ketika operasi pencarian dijalankan di hilir sungai, kelihatan seekor buaya timbul seketika dan terdapat jasad manusia di mulut reptilia tersebut. – KOSMO! ONLINE