LONDON – Pengurus Tottenham Hotspur, Thomas Frank beruntung besar selepas kelab itu berjaya mengikat bintang muda Jepun berusia 20 tahun, Kota Takai yang dikatakan lebih cemerlang daripada Cristiano Ronaldo.
Takai yang boleh beraksi sebagai pertahanan tengah dan kanan, mencipta sensasi sebelum ini apabila membantu Kawasaki Frontale mencatat kemenangan ke atas Al-Nassr dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit.
Menariknya, pemain muda terbaik Liga Jepun 2024 itu berjaya ‘merantai’ Ronaldo yang dilihat bergelut untuk melepaskan diri daripada kawalannya dalam perlawanan separuh akhir tersebut.
Kecemerlangan itu menjadi salah satu faktor Spurs menyambarnya dengan yuran perpindahan bernilai £5 juta (RM28.86 juta) menerusi kontrak selama lima tahun.
Pakar bola sepak Jepun, Alan Gibson meluahkan keyakinan bahawa kehadiran Takai mampu memberikan lebih banyak kelebihan kepada Frank sekali gus menjadi antara pemain kegemaran para peminat Spurs.
“Dia seorang pemain yang cukup bagus dan pantas walaupun berketinggian 1.92 meter. Saiz ini sebenarnya agak pelik buat pemain dari Jepun tetapi ia bukan satu isu jika di Liga Perdana Inggeris.
“Anda mungkin pernah melihatnya menentang pemain berkaliber seperti Cristiano Ronaldo, Sadio Mane dan Jhon Duran tetapi kesemua mereka berada ‘dalam poketnya’ ketika itu,” kata Gibson.
Takai menjadi nama ketiga dibeli Spurs selepas juara Liga Europa itu melengkapkan perpindahan dua pemain pinjaman kepada pembelian tetap iaitu Mathys Tel dan Kevin Danso. – AGENSI