LIVERPOOL – Everton sedang giat memburu pemain sayap kanan baharu pada jendela perpindahan musim panas ini dengan bintang Real Sociedad, Takefusa Kubo menjadi antara sasaran utama.
Pengendali baharu The Toffees, David Moyes mahu memperkuatkan jentera serangan selepas kehilangan dua pemain pinjaman iaitu Jack Harrison dan Jesper Lindstrom yang kembali ke kelab induk masing-masing.
Pemain antarabangsa Jepun yang juga bekas pemain Real Madrid, Kubo telah mempamerkan aksi memberangsangkan musim lalu dengan menjaringkan tujuh gol serta mencipta empat bantuan jaringan dalam semua pertandingan bersama Sociedad.
Nilai Kubo dilaporkan sekitar £30 juta (RM172.82 juta) dan Everton dikatakan sanggup melaburkan sebahagian besar bajet perpindahan mereka bagi membawa masuk pemain yang sesuai bagi mengisi kekosongan di bahagian kanan serangan.
Sementara itu, Everton turut mengintai beberapa pemain sayap lain termasuk bintang muda Ipswich Town, Omari Hutchinson yang turut menyerlah bersama skuad bawah 21 tahun (B-21) England.
Hutchinson, 21, berjaya meledak tiga gol dan melakukan dua bantuan jaringan musim lalu dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Ipswich dan dijangka meninggalkan kelab susulan penyingkiran mereka dari liga utama.
Difahamkan, nilai perpindahannya sekitar £25 juta hingga £30 juta (RM144.01 juta hingga RM172.82 juta), namun Everton dijangka bersaing dengan West Ham United dan Brentford yang turut menunjukkan minat.
Seorang lagi pemain muda, Tom Fellows dari West Bromwich Albion juga berada dalam senarai pendek selepas turut menonjol bersama skuad England B-21 dalam Kejohanan Eropah baru-baru ini. – AGENSI