SHAH ALAM – Kerja-kerja penambakan tanah bagi pemajuan di kawasan Putra Heights, Subang Jaya, dekat sini sebelum ini antara aspek siasatan baharu yang oleh dilakukan menjurus kepada letupan paip gas.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia boleh disiasat oleh Jawatankuasa Khas Adaptasi Risiko Saliran Paip Gas yang akan dianggotai tujuh pakar selepas ini.
Katanya, ini berikutan struktur tanah memberikan sumbangan kepada pergerakan paip sehingga berlakunya kerosakan dan letupan itu.
“Walaupun keutuhan paip, kerja-kerja atasan dan struktur tanah, akhirnya struktur tanah menjadi punca utama kepada pergerakan paip yang akhirnya menyebabkan letupan dan pecah-pecahan.
“Justeru, proses penambakan tanah di atas kawasan tersebut bagi pemajuan sebelum ini adalah satu benda yang boleh disemak jawatankuasa itu yang boleh menjurus kepada mereka yang bertanggungjawab,” katanya pada penggulungan perbahasan isu Putra Heights di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Beliau memberitahu, terdapat tiga paip di lokasi kejadian dengan paip yang meletup adalah berada di tengah yang bersaiz 2.54 sentimer ( 36 inci) yang dipasang dan ditauliahkan pada tahun 2020.
“Kalau kedua-dua pembangunan di Putra Harmoni mahupun rumah kedai tersebut memberikan kesan atau impak pergerakan tanah sudah pastinya paip di Hong & Hong Homes (rumah kedai) dan Putra Harmoni akan menunjukkan herotan yang jelas. Tetapi yang pecah adalah paip di tengah-tengah.
“Itu nampak kesan herotan atau tarikan antara 24 hingga 25 sentimer yang kemudiannya dikenal pasti meledak dan meletus gas itu yang tempohnya antaranya tujuh saat,” katanya.
Amirudin menambah, penyelenggaran utama paip dilakukan dalam tempoh empat tahun sekali dan semakan pula dalam tempoh 10 tahun.
“Kebetulan semakan akan dibuat Petronas pada September ini tetapi paip itu pecah. Berhubung sistem pengesanan awal sudah pasti perlu dipertingkatkan pada pandangan saya namun jawatankuasa boleh laporkan lebih teliti bagaimana sensor itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE