SHAH ALAM – Kerajaan negeri memperuntukkan hampir RM16 juta setahun bagi memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam meningkatkan kebolehpasaran belia termasuk komuniti India dalam usaha mendapatkan pekerjaan.
Exco Sumber Manusia negeri dan Pembasmian Kemiskinan, V Papparaidu berkata, ini meliputi penajaan pelatih dalam program Pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Kemahiran Profesional dan Kursus Kemahiran Jangka Pendek di institusi TVET seperti Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC).
“Kita memperuntukkan antara RM12 juta hingga RM16 juta bagi pembangunan TVET. Kerajaan negeri melahirkan antara 1,200 hingga 1,500 pelatih setiap tahun daripada STDC dalam pelbagai bidang ditawarkan di institut tersebut.
“Berdasarkan rekod, antara 30 peratus hingga 40 peratus daripada jumlah pemohon di STDC setiap tahun terdiri daripada kaum India. Trend peratusannya meningkat saban tahun didorong galakan daripada ahli keluarga dan inspirasi yang diperoleh daripada rakan-rakan yang telah berjaya menyertai dan menamatkan latihan di STDC,”katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Terdahulu Muhammad Izuan Ahmad Kasim (PH-Kota Damansara) ingin mengetahui perancangan kerajaan untuk memberi peluang lebih banyak kepada anak muda India ke industri TVET.
Papparaidu merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banting memaklumkan, peruntukkan kerajaan negeri tersebut turut digunakan
bagi pembangunan modul TVET serta pelaksanaan program jaringan kerjasama dengan institusi dan industri di peringkat tempatan dan antarabangsa.
“Usaha ini bertujuan memperkukuh sistem TVET dan memastikan institusi seperti STDC sentiasa berada pada tahap optimum selari dengan perkembangan teknologi semasa agar para pelatih bersedia menghadapi suasana kerja sebenar dalam industri,” katanya . – KOSMO!ONLINE