fbpx

Gaduh suami isteri, hangat-hangat tahi ayam punca MyKiosk hambar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suee Lim ketika menjawab soalan di DUN Selangor hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI/ KOSMO!

SHAH ALAM – Bergaduh suami atau isteri dan hangat-hangat tahi ayam menjadi antara pengoperasian MyKiosk di sekitar Selangor hambar.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, penjaja yang diberi peluang sepatutnya menunjukkan komitmen tinggi selaras dengan matlamat MyKiosk untuk membantu golongan B40 seterusnya membasmi kemiskinan bandar.

“Waktu temu bual (calon MyKiosk) cakap teruja. Bila sudah bagi hangat-hangat tahi ayam. Keterujaannya hanya bertahan lima minit. Ada yang gaduh suami isteri kemudian tak berniaga. Ada isu seperti di lapangan.

“Jadi, pengisian MyKiosk jadi hambar. Justeru, tempoh tiga bulan diberikan kepada peniaga ini sebelum ditukarkan kepada orang lain,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.

Terdahulu, Dr. Afif Bahardin dalam soalan tambahannya ingin mengetahui langkah yang boleh dilakukan bagi memastikan pengoperasian MyKiosk dapat dimanfaat sepenuhnya penjaja.

Suee Lim bagaimanapun meminta semua pihak berkuasa tempatan (PBT) melakukan pemantauan dan siasatan bagi penentuan lokasi MyKiosk.

“Kalau letak MyKiosk biar teratur dan tempat yang dikenal pasti sesuai. Sekiranya tidak, kita bagi tempoh tiga bulan andai tidak boleh diisi penjaja atau lokasi itu tidak laris kita akan letak di tempat baharu.

“MyKiosk ini punya ‘semangat hijrah’ sebab boleh dipindahkan ke tempat lain bukan seperti gerai kalau tiada sambutan adalah susah.

“Jadi, kita mengalu-alukann cadangan daripada mana-mana Yang Berhormat dan komuniti mengenainya (lokasi peletakkan MyKiosk),” ujarnya.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri Sekinchan itu, pihaknya melalui PBT akan mempertimbang mengenai isu cagaran sebanyak RM2,000 hingga RM3,000 yang dianggap menyulitkan peniaga.

“Tetapi kena ada sedikit komitmen kerana kita perlukan kerjasama kedua-dua pihak (peniaga dan PBT). Kalau tiada cagaran, peniaga tak hargai dan dibiarkan rosak dan hancur,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Suee Lim berkata, terdapat sebanyak 1,028 MyKiosk dan paling tinggi adalah di DUN Taman Medan dengan 123 MyKiosk.

“Kos pembinaannya di semua PBT Selangor adalah RM20.33juta. Daripada jumlah tersebut, RM19.5juta dibiayai melalui peruntukkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan manakala bakinya sebanyak RM822,211 ditanggung PBT bagi kerja penyediaan tapak.

“Secara purata, kos pembinaan bagi seunit MyKiosk adalah sebanyak RM19,785.80 merangkumi kos struktur dan penyediaan tapak mengikut kesesuaian di lokasi,” katanya. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI