MUAR – Dua remaja termasuk seorang masih di bawah umur ditahan reman selepas disyaki menyamun dan merogol penuntut sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Pagoh, di sini Isnin lalu.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Fatin Dalilah Khalid ke atas suspek bermula hari ini.
Suspek berusia 19 tahun direman selama lima hari, manakala seorang lagi suspek berusia 17 tahun direman tiga hari.
Reman itu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Berdasarkan laporan dibuat, kejadian terkutuk itu berlaku pukul 8.30 malam, 7 Julai lalu ketika mangsa berusia 20 tahun membonceng motosikal bersama teman lelakinya berusia 23 tahun.
Ketika melalui Jalan Kampung Jawa, Panchor, pasangan itu ditahan kedua-dua suspek yang menaiki motosikal sebelum diminta menyerahkan wang tunai.
Suspek kemudian mengambil beg tangan mangsa berisi wang RM250, namun mereka memberitahu jumlah itu masih belum mencukupi.
Salah seorang suspek menumbuk muka mangsa lelaki menyebabkan dia terjatuh sebelum diminta meninggalkan teman wanita bersama mereka.
Kedua-dua suspek kemudian membawa mangsa menaiki motosikal menuju ke kebun sawit berdekatan lalu merogol gadis tersebut.
Selepas kejadian mangsa dihantar pulang oleh suspek ke kampus sebelum pasangan itu membuat laporan di Balai Polis Panchor.-KOSMO! ONLINE