fbpx

CWC: PSG calon pilihan ke pentas final

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
OUSMANE Dembele (tengah) menjadi pertaruhan terbaik PSG apabila berjaya meledak satu gol menewaskan Bayern di separuh akhir. - AFP

NEW JERSEY – Paris Saint-Germain (PSG) akan terus meletakkan sandaran kepada ketahanan mental pemain-pemain menjelang aksi separuh akhir Piala Dunia Kelab (CWC) 2025 menentang Real Madrid di Stadium MetLife awal pagi esok.

Juara Eropah itu sudah membuktikan aspek berkenaan menjadi kekuatan mereka selepas membenam gergasi Bundesliga, Bayern Munich 2-0 di pusingan suku akhir meskipun terpaksa beraksi dengan sembilan pemain.

Jurulatih PSG, Luis Enrique berkata, daya tahan barisan pemain serta penyokong membantu pasukan itu untuk kekal fokus sehingga ke wisel penamat meskipun kadang-kadang situasi tidak memihak kepada mereka.

Beliau berharap PSG akan mengekalkan momentum tersebut ketika pertemuan menentang Real kerana menganggap juara Eropah 15 kali itu memiliki kemampuan yang hampir sama dengan Bayern.

“Saya fikir kita banyak bercakap mengenai daya tahan setiap pasukan pada pertandingan ini. Bagi saya, PSG memiliki kelebihan dari aspek berkenaan, bukan sahaja dalam kalangan pemain, malah penyokong juga.

“Sepanjang saingan musim ini, kami banyak berdepan situasi tidak menentu dan ia merupakan cabaran terbesar buat pasukan. Saya sangat mementingkan sikap dan karakter, tidak kira ketika menang, seri ataupun kalah,” katanya.

Jika dilihat pada prestasi semasa, PSG dianggap memiliki peluang lebih cerah untuk melangkah ke perlawanan akhir, terutamanya selepas menewaskan pasukan-pasukan besar Eropah lain seperti Bayern dan Atletico Madrid.

Sementara itu, Enrique yang pernah menjadi seteru Real ketika mengendalikan Barcelona menjelaskan, beliau enggan terlalu memikirkan kekuatan pasukan lawan, sebaliknya mahu mempersiapkan pasukannya sebaik mungkin.

“Dalam bola sepak, sentiasa akan ada elemen kejutan, jadi kami tidak mahu terlalu fokus pada pasukan lawan. Bagi saya, apa yang penting sekarang adalah untuk mempersiapkan pasukan dan memperbaiki segala kekurangan,” ujarnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI