fbpx

CWC: Peluang Real ‘ajar’ juara Eropah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KYLIAN Mbappe berpeluang membuktikan sesuatu apabila bertemu bekas kelabnya, PSG awal pagi esok. - AFP

NEW JERSEY – Jurulatih Real Madrid, Xabi Alonso mahu melihat kemampuan sebenar skuad kendaliannya itu menjelang aksi separuh akhir Piala Dunia Kelab (CWC) 2025 menentang Paris Saint-Germain (PSG) di Stadium MetLife awal pagi esok.

Meskipun sudah melayakkan diri ke pusingan empat terbaik, namun Alonso masih menganggap Los Blancos belum benar-benar diuji dan pertemuan dengan PSG menjadi medan sebenar untuk melihat kemampuan barisan pemainnya.

Bertemu PSG selaku juara Eropah, Real wajar berasa bimbang kerana skuad kendalian Luis Enrique itu berjaya melangkah ke separuh akhir selepas membenam Bayern Munich 2-0 biarpun beraksi dengan sembilan pemain.

Alonso berharap pemain-pemainnya dapat melupakan kemenangan ke atas Borussia Dortmund di pusingan suku akhir selain menggesa mereka untuk memberikan sepenuh perhatian terhadap aksi menentang PSG.

“Sebelum ini kami bertemu pasukan yang melangkah jauh dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan kami akan berdepan pasukan juara pada perlawanan seterusnya. Saya anggap ini sebagai langkah untuk pasukan.

“Mereka (PSG) menampilkan aksi berkualiti tinggi sejak pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara yang lalu. Apa yang pasti, ia akan menjadi satu perlawanan paling mencabar buat kami di sini,” katanya.

Biarpun Real memiliki kelebihan atas kertas berdasarkan rekod lima kemenangan dalam 11 pertemuan, namun ramai menganggap PSG memiliki peluang lebih cerah ke final jika dilihat pada prestasi semasa.

Sementara itu, Real juga akan turun tanpa pemain pertahanan, Dean Huijsen yang berdepan penggantungan, namun Alonso memiliki ramuan tersendiri bagaimana mereka mahu berdepan situasi tersebut.

“Saya harap kami boleh mengambil pendekatan positif berdasarkan keputusan menentang Dortmund sebelum ini tetapi kehilangan Huijsen bukan berita baik. Bagaimanapun, kami akan cuba untuk menanganinya,” ujar beliau. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI