NEW YORK – Impian Fluminense untuk meneruskan cerita luar biasa di pentas Piala Dunia Kelab akhirnya lebur selepas tewas 0-2 kepada Chelsea dalam aksi separuh akhir di Stadium MetLife awal pagi tadi.
Bagaimanapun, kualiti yang dipersembahkan oleh anak-anak buah Renato Portaluppi wajar dibanggakan kerana berjaya mengejutkan beberapa kelab besar dan muncul pasukan tunggal dari luar Eropah mara ke separuh akhir.
“Cukup sedih dan sukar untuk saya berbicara kerana kehadiran kami ke sini untuk meraih kemenangan walaupun keputusan akhir tidak berpihak kepada kami. Terdapat jurang besar antara pasukan Eropah dan Amerika Selatan.
“Saya pernah bersama Chelsea dan dalam aspek kewangan, kami nyata tidak mampu bersaing tetapi kami perlu bermain dengan sempurna. Kami cuba mengekalkan penguasaan bola, namun apa yang kami lakukan masih belum cukup.
“Ia pasti memberi kesan kepada penyokong kerana kemaraan ke final adalah cukup bermakna dan sudah tentu memberi keceriaan kepada mereka,” kata tonggak berpengalaman yang juga kapten Fluminense, Thiago Silva.
Portaluppi yang sebelum ini menganggap pasukannya bukan pasukan pilihan merasakan tiada apa yang perlu diratapi pada penyertaan kali ini.
“Ini adalah Piala Dunia Kelab dan tiada apa yang perlu kami tangisi. Kami mahu ke final untuk ceriakan penyokong kami dan kami perlu berasa bangga dengan apa yang sudah kami lakukan pada kali ini,” katanya. – AGENSI