NEW YORK – Pengurus Chelsea, Enzo Maresca enggan terlalu panik terhadap kecederaan buku lali dialami tonggaknya, Moises Caicedo ketika menang 2-0 ke atas Fluminense dalam aksi separuh akhir Piala Dunia Kelab di Stadium MetLife awal pagi tadi.
Kecederaan Caicedo boleh menjejaskan peluang Chelsea untuk merangkul gelaran kedua mereka di bawah bimbingan Maresca selepas terdahulu menjulang Liga Konferens Europa pada Mei lalu.
“Saya beritahu dia (Caicedo) bahawa kami mungkin bermain dengan 10 orang. Perkara paling penting adalah kecederaannya tidak serius.
“Kami mempunyai satu lagi perlawanan pada Ahad (awal pagi Isnin) yang mana ia sangat penting dan kami mahu cuba memenangi final itu. Jadi kita tunggu dan lihat keadaannya nanti,” kata Maresca.
Dalam masa sama, Maresca berbangga dengan pencapaian hebat ditunjukkan anak-anak buahnya untuk mengesahkan kemaraan ke pentas final menentang sama ada juara Eropah, Paris Saint-Germain atau gergasi Sepanyol, Real Madrid.
“Ini adalah satu pencapaian yang hebat dan pasukan kami mengharungi musim yang begitu bagus selepas menamatkan Liga Perdana Inggeris di tempat keempat, menjuarai Liga Konferens dan kini kami berada di final Piala Dunia Kelab.
“Sudah tentu kami gembira untuk memastikan kemaraan ini. Sekarang kami akan menghadapi perlawanan terakhir bagi musim ini dan apa yang boleh saya katakan, kami berharap untuk memenangi kejuaraan ini,” jelas Maresca. – AGENSI