GOMBAK – Seorang peniaga burger di Bandar Tasik Puteri, Rawang, meluahkan rasa kesal apabila ditipu oleh individu yang sama berkali-kali sehingga mengalami kerugian kira-kira RM177.
Menurut Hasiba Farizai, 32, modus operandi individu tersebut adalah dengan membuat pesanan dalam kuantiti yang banyak secara dalam talian.
Katanya, selepas menerima pesanan daripada penghantar makanan, lelaki berusia 20-an tersebut tidak membuat sebarang pembayaran serta memberikan pelbagai alasan.
“Memang dia (pelaku) pelanggan kami. Sebelum ini ada sahaja dia bayar. Mulai bulan Mei, dia mula buat pesanan tanpa bayar. Saya tak perasan mula-mula sebab tempahan terlalu banyak.
“Tapi dalam bulan lepas, saya perasan dia tak bayar sebab pesanan dalam kuantiti banyak. Jumlah dia tak bayar pada saya sekarang adalah RM177 untuk burger sahaja,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Hasiba berkata, sejak berniaga burger dari tahun 2006, ini adalah kejadian pertama berlaku pada dirinya melibatkan jumlah wang yang banyak.
Katanya, walaupun selepas memberi nombor akaun dan mendesak lelaki tersebut untuk melunaskan hutang, dirinya masih belum terima sebarang pembayaran sehingga ke hari ini.
“Dia kerap bagi alasan, dia kata bos dia nak bayarkanlah, tak terima gaji lagilah. Saya tak kenal waris atau kenalan dia. Bila dah kerap sangat bagi alasan, akhirnya saya buat laporan polis,” katanya.
Sehubungan itu, Hasiba telah membuat laporan polis semalam di Balai Polis Meru, Klang sebelum kes tersebut dirujuk ke Ibu Pejabat Daerah Polis Gombak.
Sementara itu, hantaran Hasiba yang tular di platform Facebook telah mendapat pelbagai reaksi khususnya daripada penduduk Bandar Tasik Puteri.
Hasiba berkata sejak hantarannya tular, dia menerima lebih 10 kiriman mesej serta panggilan mangsa terdiri daripada peniaga yang juga ditipu oleh individu yang sama.
Dia berharap agar peniaga lain tidak tertipu dengan individu tersebut serta meminta polis dapat mengambil tindakan yang sewajarnya. – KOSMO! ONLINE