SEREMBAN – Seorang pembantu kedai makan berstatus muflis didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua anak kandung perempuannya antara 2022 hingga 2025.
Bagaimanapun, tertuduh berusia 45 tahun itu tidak mengaku bersalah di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan yang ketika kejadian berusia 12 dan 13 tahun.
Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh telah melakukan perbuatan sama terhadap kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun tahun ini.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14(b) Dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan dan memohon mahkamah menetapkan tarikh untuk laporan perubatan rasmi dan lantikan peguam. – KOSMO! ONLINE