fbpx

‘Azim peluk erat, minta saya halalkan susu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nazirah ketika ditemui di rumahnya di Jitra hari ini.

JITRA – Seorang ibu tidak menyangka pelukan erat anak keduanya sambil meminta agar dihalalkan setiap titis susu diberikan menjadi kenangan terakhir mereka sebelum lelaki itu ditemukan lemas di Sungai Korok, di sini kelmarin.

Menurut Nazirah Ismail, 67, selepas kejadian lemas itu, dia mengimbau kembali pertemuan dengan Allahyarham Mohamad Azim Izat Ishak, 32, yang datang ke pondok pengajian agama di Kodiang pada 27 Jun lalu.

“Paling saya sedih apabila Azim peluk saya dengan erat sekali dan minta halalkan susu. Saya jawab apa yang mak bagi kepada Azim dan keluarga, mak halal dunia akhirat, mak tak pernah ingat.

“Selepas itu, semasa hendak balik Azim keluar semula dari kereta dan peluk saya sekali lagi. Saya tanya kenapa Azim macam itu? Dia hanya jawab dia rasa macam tak mahu lepaskan mak (pelukan),” katanya ketika ditemui di rumah anaknya di Taman Seri Aman, di sini hari ini.

Menurut Nazirah yang juga pesara, arwah Mohamad Azim juga memohon maaf kerana tidak dapat memberi kesenangan buatnya.

“Dia minta ampun dan maaf kerana tidak dapat bagi mak (hidup) senang, dia kata abang selalu beri masalah kepada mak.

“Saya kata abang jangan merapu (cakap bukan-bukan), bukan mak nak pergi manapun,” katanya.

Cerita warga emas itu dia seterusnya meminta Mohamad Azim datang menziarahinya sekiranya teringatkan beliau.

“Saya pesan kalau abang (Azim) teringat mak, datanglah kepada mak dan kalau mak teringat (Azim), nanti mak pergi jumpa abang. Saya tak terfikir langsung (petanda) sebelum berlaku kejadian (lemas) itu,” ujarnya.

Tambah Nazirah, anak kedua daripada enam beradik itu seorang anak yang baik dan begitu rapat dengan adik beradik yang lain.

“Kalau berkumpul, kami akan solat berjemaah dan arwah akan menjadi imam, bergilir-gilir dengan adik bongsunya.

“Di rumah pun, dia biasanya solat berjemaah bersama isteri dan anak-anaknya terutama waktu maghrib dan isyak,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI