KUALA LUMPUR – ASEAN bukan sekadar menjadi tuan rumah kepada siri mesyuarat serantau, malah diberi peluang membentuk semula naratif dan hala tuju geopolitik Asia Tenggara dalam dekad-dekad akan datang di bawah kepengerusian Malaysia.
Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Pusat Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS) Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Siti Darwinda Mohamed Pero berkata, hala tuju ASEAN di bawah kepengerusian Malaysia adalah jelas.
“‘ASEAN Centrality’ dan penyelarasan antara dasar luar serta ekonomi bukan sahaja menjadi matlamat ideal tetapi adalah keperluan praktikal dalam mendepani dunia yang semakin mencabar.
“Bawah kepimpinan Malaysia, ASEAN akan dikembalikan ke pusat geopolitik serantau dan global, keutuhan ekonomi serantau akan diperkukuhkan dan suara kolektif Asia Tenggara akan diangkat ke pentas dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Siti Darwinda berkata, konsep ‘ASEAN Centrality’ merujuk kepada peranan utama ASEAN sebagai pusat rujukan, penentu arah dan penggerak dalam urusan serantau dan global khususnya dalam mengatur wacana keselamatan, ekonomi dan diplomasi.
Menurut beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan bahawa ‘ASEAN Centrality’ bukan sekadar slogan, tetapi mesti diterjemahkan melalui pengukuhan institusi serantau seperti Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS), Forum Serantau ASEAN (ARF) dan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM-Plus).
“Dengan kata lain, ASEAN mesti menjadi pentas utama, bukan penonton dalam pembentukan sistem antarabangsa,” katanya.
Ujar beliau, EAS atau dianggotai 18 negara termasuk 10 negara anggota ASEAN iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam serta Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia dan Amerika Syarikat (AS)
Jelas beliau, ARF pula merangkumi 27 ahli iaitu 10 negara anggota ASEAN, 10 Rakan Dialog ASEAN iaitu Australia, Kanada, China, Kesatuan Eropah, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia dan AS serta Bangladesh, Korea Utara, Mongolia, Pakistan, Sri Lanka, Papua New Guinea dan Timor-Leste.
Tambah beliau, ADMM-Plus merangkumi 10 negara anggota ASEAN serta lapan negara “Plus” iaitu Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia dan AS.
“Seperti diungkapkan oleh Perdana Menteri, “From Sittwe to Merauke, from Da Nang to Dili, our region can become more peaceful and more prosperous, if we have the courage to see ASEAN not as nations moving in parallel, but as one community moving with purpose”
“Ini adalah seruan untuk menjadikan ASEAN sebuah komuniti berstrategi, bersatu dan berpandangan jauh sejajar dengan tanggungjawab Malaysia sebagai pengerusi tahun ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE