BESUT – Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan desas-desus beliau akan menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden pada pemilihan parti itu yang dijangka berlangsung bulan September depan.
Menteri Besar Terengganu tersebut berkata, tanggungjawab sebagai Naib Presiden Pas yang disandangnya kini pun sudah memadai.
“Saya telah beritahu sebelum ini, jawatan yang ada sekarang ni (Naib Presiden) bagi saya berat untuk dipikul.
“Jadi tidak timbul untuk saya hendak jawatan-jawatan lain,” katanya ketika ditemui selepas meninjau perkembangan projek Stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Jerteh di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri memilih untuk tidak masuk campur kesediaan seorang lagi Naib Presiden, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah yang dikatakan bersedia menerima pencalonan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Pas.
“Biar beliau (Mohd. Amar) membuat keputusan sendiri. Jika memilih untuk bertanding jawatan (Timbalan Presiden) pun, ia tidak akan menjejaskan parti.
“Pas telah berdepan dengan pelbagai muktamar sejak sekian lama dan sekiranya berlaku perubahan, parti masih boleh terus ‘bergerak’ ke depan,” katanya. – KOSMO! ONLINE