PETALING JAYA – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, hari ini berkenan menerima persembahan taklimat mengenai projek pembangunan Hospital Pengajar Universiti Sains Islam Malaysia (HPUSIM) yang bakal dibina di Mukim Sedili, Johor.
Taklimat disampaikan oleh Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Roslan Ismail kepada Seri Paduka Baginda di Istana Bukit Tunku, Kuala Lumpur.
Menurut titah Seri Paduka Baginda, projek tersebut dijangka memberi impak besar bukan sahaja dari sudut pembangunan infrastruktur, malah turut memberi manfaat ekonomi dan sosial kepada masyarakat setempat.
“Saya percaya pembangunan ini akan memberi limpahan ekonomi yang baik kepada Johor serta masyarakat setempat di Kota Tinggi,” titah Baginda.
Hospital pengajar berkenaan juga merangkumi pembangunan akademik seperti asrama pelajar klinikal, kolej kediaman doktor pelatih, asrama jururawat serta kuarters untuk staf.
Projek tersebut dijangka menjadi pemangkin kepada kemajuan sektor pendidikan dan perubatan di selatan tanah air. – KOSMO! ONLINE.