SHAH ALAM – Sebanyak 25 kertas siasatan berkaitan GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) dilengkapkan termasuk melanggar fatwa ajaran sesat.
Perkara itu didedahkan Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah dengan kertas siasatan itu akan dirujuk kepada pihak pendakwaan untuk tindakan lanjut.
“Kita ada 25 kertas siasatan yang sudah sedia diangkat untuk pendakwaan bagi GISBH. Tunggulah,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Dewan Annex di sini hari ini.
Sebelum ini, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan 108 individu disyaki terlibat dengan GISBH dengan kebanyakannya melibatkan Seksyen 12 (c ) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor berkaitan fatwa yang dikuatkuasakan.
Pada Oktober 2024, sebarang fahaman, ajaran dan amalan oleh pengikut, pekerja atau ahli serta kanak-kanak yang dikaitkan dengan GISBH dan rangkaiannya difatwa haram.
Mohammad Fahmi menjelaskan, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sedang memperhalusi undang-undang berkaitan tindakan kepada pertubuhan yang melanggar fatwa yang diwartakan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap rayuan SIS Forum (Malaysia) sebelum ini.
“Sekarang ini, memang individu boleh laksanakan (tindakan) sebab fatwa masih sah. Cuma untuk pertubuhan atau persatuan.
“Kalau tidak, mereka akan menyorok di bawah benda sebegitu (pertubuhan atau persatuan). Jadi, MAIS sedang lihat kepada kaedah perundangan yang ada,” katanya.
Jelas beliau, tiada garis masa ditetapkan bagi proses penelitian perundangan itu.
“Namun, saya rasa titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (berkaitan penggunaan nama Islam dalam pertubuhan yang didapati menyeleweng ajaran Islam) perkara yang sangat kita ambil berat.
“Kalau ia memerlukan pindaan Rang Undang-Undang atau enakmen yang baharu berkaitannya, kita angkat ke Dewan Undangan Negeri (DUN), tiada masalah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan perkara yang boleh dipelajari susulan kes SIS Forum tersebut adalah agar tiada pertindanan dengan Akta-Akta Persekutuan.
“Yang itu, kita sudah ada Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam bagi memastikan ia tidak bertindan. Kedua bila sebut soal realiti seperti fatwa kepada pertubuhan, boleh atau tidak.
“Sebenarnya, pertubuhan itu adalah pertubuhan. Logiknya begitulah. Yang kita hendak tangkap itu adalah pengikut-pengikut atau penyebar dalam pertubuhan itu. Mereka itu masih belum terlepas dan boleh dikuatkuasakan fatwa tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE