KOTA BHARU – Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) sentiasa mengambil langkah bagi mengekang kegiatan scam yang menyalahguna atau mengelirukan produk bank berkenaan secara palsu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BIMB, Datuk Mohd. Muazzam Mohamed berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang ramai bahawa terdapat pihak ketiga yang berperanan sebagai ‘scammer’ dengan mengambil kesempatan untuk menipu menggunakan nama BIMB.
Katanya, aduan tersebut diterima sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan ia perlu diatasi demi keselamatan kepada pelanggan.
“Meskipun aduan tersebut tidak banyak, BIMB memandang serius kegiatan tersebut dan sentiasa mengekang cubaan sedemikian.
“Taktik yang digunakan antaranya parcel scam apabila pelanggan menerima panggilan daripada pihak berkuasa yang meminta individu supaya membuat pemindahan wang,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Bual Bicara dan Majlis Minum Petang Bank Islam di sebuah hotel di sini hari ini.-KOSMO! ONLINE