LUMUT – Sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) kelas B ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak di kedudukan 1.6 kilometer (km) timur laut Pulau Talang di sini semalam kerana didapati melanggar syarat sah lesen.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, vesel yang menggunakan pukat tunda itu ditahan sekitar pukul 8.30 pagi ketika pihaknya melakukan rondaan rutin di kawasan tersebut.
“Hasil pemeriksaan mendapati vesel tersebut telah melanggar syarat lesen kerana tidak diusahakan sendiri oleh pemilik serta menggaji kru warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan.
“Dua kru warga Myanmar termasuk tekong dan seorang kru warga Thailand yang berada di atas vesel tersebut disyaki tidak memiliki permit kerja serta pas yang sah,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, vesel bersama kesemua kru, peralatan menangkap ikan dan hasil laut telah dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kampung Acheh untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM bagi siasatan lanjut.
“Kes berkenaan akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – KOSMO! ONLINE