SEPANG – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) akan menamatkan serta merta tugas mana-mana pegawainya jika dikesan terlibat dalam aktiviti penyeludupan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, tindakan itu antara yang akan dijalankan pihaknya bagi membendung masalah itu daripada berterusan.
“Saya dah cakap terus terang kepada semua barisan pegawai tadi (ketika lawatan kerja) dan saya secara peribadi tidak akan berkompromi dalam isu itu.
“Kami juga mungkin akan mencadangkan beberapa prosedur pengambilan dan penamatan kerja yang lebih serius jika seseorang itu didapati terlibat dalam aktiviti-aktiviti penyeludupan,” katanya ketika ditemui media selepas melakukan tinjauan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini hari ini.
Ditanya berhubung titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu sempadan negara diperkukuh bagi membanteras isu penyeludupan dadah, Mohd Suhaily berkata, pihaknya akan memperkemas kolaborasi dengan agensi penguatkuasaan utama di negara ini.
Menurutnya, ketika ini, pihaknya mendapat kerjasama baik daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
“Alhamdulillah, saya rasa agensi-agensi utama dan teras ini akan memberi kerjasama baik kepada AKPS kerana ini adalah hasrat kerajaan dan agenda kerajaan,” katanya.
Sebelum ini, Sultan Pahang bertitah agar sempadan negara diperkukuh bagi membanteras isu penyeludupan dadah yang semakin membimbangkan.
Baginda bertitah kawalan di pintu masuk negara seperti lapangan terbang, pelabuhan dan sempadan darat perlu diperketat kerana ia dikenal pasti sebagai antara laluan utama kemasukan bekalan dadah ke dalam negara.-KOSMO! ONLINE