fbpx

Sungai Korok ragut 10 nyawa sejak 2018

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA melakukan operasi mengeluarkan jasad enam beranak di dalam Proton Iswara yang terjunam ke dalam Sungai Korok, Jitra semalam. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN

JITRA – Sungai Korok yang merupakan lokasi enam beranak termasuk bayi berusia enam bulan lemas pada Sabtu lalu meragut 10 nyawa dalam tempoh tujuh tahun sejak 2018.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Radzi Abdul Rahim berkata, tiga daripada kejadian itu melibatkan kemalangan maut dipercayai berpunca akibat pemandu hilang kawalan, tergelincir dan kenderaan terbabas ke dalam sungai.

“Kes yang paling tragis pada pagi Sabtu lepas yang menyebabkan enam beranak terkorban selepas kereta dinaiki dipercayai terbabas sebelum terhumban dalam sungai sepanjang 15 kilometer itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, tragedi lain berlaku pada Disember 2021 yang mengorbankan kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, manakala pada Disember 2022, seorang budak 12 tahun turut maut selepas kereta dipandu bapanya terjunam ke dasar sungai.

“Tiada kemalangan berlaku pada 2023 dan 2024. Selain kejadian Sabtu lepas, terdapat kemalangan pada awal tahun ini yang melibatkan empat pelajar universiti yang nyaris maut apabila kereta dinaiki terhumban ke sungai tersebut.

“Mereka selamat setelah berjaya keluar dari kereta Perodua Viva dan berenang ke tebing,” katanya.

Beliau menambah, kemalangan di kawasan itu dipercayai berpunca akibat hilang kawalan dan tergelincir selain faktor manusia.

“Terdapat tuntutan awam untuk memasang penghadang keselamatan sepanjang laluan bahaya kerana berlaku beberapa kes lemas dan kemalangan maut sebelum ini,” katanya.

Antara cadangan kepada pihak terlibat untuk mengatasi perkara itu adalah pemasangan penghadang lebih tinggi dan kukuh di kawasan laluan berisiko, peningkatan papan tanda amaran, jalan gelincir (skid warning), dan pemantauan JKR/JBPM.

“Kempen kesedaran terutama ketika memandu bersendirian atau membawa keluarga melalui laluan sempit berdekatan sungai juga akan dipertingkatkan,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI