KOTA BHARU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meluaskan Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) ke seluruh negara dalam usaha mengekang ketirisan minyak masak peket bersubsidi.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, sistem berkenaan ketika ini masih berada pada peringkat perintis yang dilaksanakan menerusi Jualan Rahman.
Menurutnya, pelaksanaan untuk meluaskan eCOSS membolehkan setiap transaksi minyak masak peket bersubsidi direkod secara digital.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sebelum ini melaksanakan sistem tersebut melibatkan peruncit. Isu yang berlaku adalah melibatkan pengguna dan memastikan bekalan minyak masak peket sentiasa ada.
“Jadi, kita perlu panjangkan pelaksanaan sistem itu sehingga ke peringkat pengguna. Jika tiada kaedah, penguatkuasaan tidak dapat dilakukan sekali gus dapat mengekang ketirisan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Stesen Minyak Shell Panchor di sini hari ini.
Armizan memberitahu, peluasan eCOSS bukan bertujuan mengurangkan subsidi minyak masak, sebaliknya sebagai mekanisme kawalan yang telus dan bersasar.
“Pengguna perlu memuat turun aplikasi eCOSS dan mengimbas kod respons pantas (QR) setiap kali membuat pembelian minyak masak peket.
“Sistem eCOSS turut mengesahkan identiti pengguna menerusi proses e-KYC (Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital) menggunakan MyKad bagi memastikan hanya warganegara layak menerima subsidi (membeli minyak masak),” katanya. – KOSMO! ONLINE