JERLUN – “Qisya semalam nampak kuat, tapi hari ini nampak sugul, saya minta dia lepaskan perasaan dan menangis di bahu tok umi.”
Demikian cerita Roswati Zainol, 52, mengenai cucu sulungnya, Putri Qisya Nur Izzat, 12, yang kematian ibu bapa serta empat adiknya dalam kejadian lemas di Sungai Korok, Jitra semalam.
“Kakak (Qisya) kuat, tok umi (Roswati) tak kuat nak tengok jenazah. Saya hanya mampu tengok jenazah menantu dan cucu-cucu. Jasad anak (Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi) saya tak sanggup (tengok).
“Qisya kuat sebab dia boleh cerita kepada saya tentang keadaan umi dan walidnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bohor Karang, di sini hari ini.
Roswati memberitahu, dia meminta cucunya melepaskan rasa kesedihan tersebut kerana bimbang akan sakit.
“Saya nampak dia tahan perasaan dan tak menangis, dia genggam tangan sendiri (seperti menahan sedih). Qisya mula menunjukkan perasaan sebenarnya pada pengebumian ibu bapa dan empat adiknya malam tadi,” ujarnya.
Cerita wanita itu, Putri Qisya seorang cucu yang baik dan sentiasa membantu menjaga empat adiknya.
Ditanya tentang urusan menjaga Putri Qisya, Roswati memberitahu, dia menyerahkan keputusan itu kepada cucunya.
“Saya tak paksa dan tak suruh, ikut rasa hati dia dengan siapa dia serasi. Nak tinggal dengan tok umi pun boleh. Cuma dia menjadi kekuatan saya sebab uminya sudah tiada.
“Kalau dia nak tinggal dengan ibu saudaranya pun tak apa, cuma jangan paksa hati untuk menjaga hati sesiapa. Ikut mana yang kita nak hadap hari-hari,” katanya.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan tanda tanya mengenai nasib sepasang suami isteri dan empat anak yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu terjawab selepas jasad mereka dijumpai 48 jam kemudian bersama kereta jenis Proton Iswara di dalam Sungai Korok, Jitra semalam.
Lebih memilukan, ketika dijumpai pada pukul 9 pagi itu, enam beranak berada di tempat duduk belakang dan saling berpelukan. Mereka dipercayai cuba keluar untuk menyelamatkan diri, namun gagal.
Ketika kejadian, kesemua mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Jerlun selepas bermalam di rumah adik Mohamad Azim, Nur Adliah Syuhada, 26, di Taman Sri Aman, di sini. – KOSMO! ONLINE