fbpx

Polis buru penyebar video AI palsu mirip Sultan Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
1. YAHAYA OTHMAN (dua dari kanan) bersalaman dengan anggota polis yang menerima sijil penghargaan di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Pekan di Pekan hari ini.

PEKAN – Polis giat mengesan dalang di sebalik penyebaran beberapa video palsu yang memaparkan wajah mirip Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di platform media sosial sejak dua hari lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, video-video terbabit dipercayai dihasilkan menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan disebarkan menerusi beberapa akaun TikTok palsu yang mendakwa baginda menawarkan bantuan kepada rakyat.

“Kita telah menerima satu laporan polis daripada pihak Istana Pahang berhubung penyebaran video berkenaan. Kes telah dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan kemudahan rangkaian,”katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kontinjen Pahang di Dewan Seri Temenggung, Perumahan PDRM, di sini, hari ini.

Menurut Yahaya, siasatan awal mendapati video tersebut telah digunakan untuk tujuan penipuan dan memperdaya masyarakat.

Tambah Yahaya, akaun TikTok yang digunakan bagi menyebarkan kandungan terbabit turut dikenal pasti sebagai akaun palsu, dan pihaknya sedang mengesan individu di sebaliknya.

Sementara itu, pihak Istana Pahang menerusi kenyataan rasmi di laman Facebook Kesultanan Pahang semalam turut mendedahkan wujud penyebaran aktif beberapa video palsu menggunakan akaun seperti ‘datuk_abdul_majid’, ‘datokfahrolaziz07’ dan ‘datuk_abdul_majid7’.

Menurut kenyataan itu, video terbabit merupakan penyalahgunaan imej Al-Sultan Abdullah yang boleh mencemarkan institusi diraja selain menyasarkan rakyat bagi tujuan penipuan.

“Ditegaskan bahawa baginda sultan tidak mempunyai sebarang akaun media sosial peribadi. Segala titah dan aktiviti rasmi hanya disiarkan menerusi laman Facebook rasmi Kesultanan Pahang yang kini diikuti lebih 725,000 pengguna,”kata kenyataan itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI